mutakhir

Mula-mula tulen, lepas itu palsu

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Buat demonstrasi magis dengan menukarkan kertas hitam menjadi wang $100 dolar Amerika Syarikat (USD).

Itu antara taktik sekumpulan penjenayah yang aktif memperdayakan mangsa dengan memberi wang tulen pada tukaran pertama sebelum menukar wang palsu pada tukaran kedua.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, sindiket Black Money yang aktif memperdayakan mangsa kononnya dapat menggandakan wang USD itu dikesan mencari mangsa di hotel mewah sebelum menawarkan khidmat menggandakan wang melalui tukaran wang.

Beliau berkata, suspek akan menunjukkan demonstrasi kepada mangsa untuk mencuci wang dolar Amerika Syarikat bagi meyakinkan mangsa.

“Suspek menunjukkan cara mereka memproses wang menggunakan teknik Black Money sebelum menyuruh mangsa menukar di pengurup wang untuk memastikan wang berkenaan adalah tulen.

“Selepas berjaya meyakinkan mangsa, suspek akan meminta mangsa menukar wang dengan nilai lebih banyak sebelum mangsa diberikan wang palsu,” katanya.

Mazlan berkata, dalam kejadian terbaru pada Rabu lalu, seorang ahli perniagaan nyaris kerugian RM600,000 akibat diperdaya penjenayah.

“Bagaimanapun tindakan bijak mangsa membuat laporan polis sebelum melakukan proses tukaran wang berjaya menyelamatkannya.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, sepasukan polis berjaya menumpaskan sindiket Black Money yang aktif beroperasi di negara ini sejak setahun lalu,” katanya.

Katanya, seramai 10 suspek dari pelbagai negara termasuk rakyat tempatan sudah ditahan.

“Polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes penipuan Black Money sejak tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 6:50am
d