mutakhir

Bekas pengurus dituduh seleweng RM2.54 juta

Oleh Nur Saliawati Salberi

BEKAS Pengurus Projek, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan berjumlah RM2.54 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Nasir Razak, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa yang ketika itu sebagai Pengurus Projek SBPKP diamanahkan penguasaan terhadap peruntukan baja iaitu Baja Sebatian, NPK Tambahan dan Urea sebanyak 56, 700 beg berjumlah RM2, 544, 650, melalui 50 nota hantaran melakukan pecah amanah jenayah ke atas peruntukan baja.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, di Jalan Jasin Merlimau, di sini, antara 31 Januari hingga 31 Disember 2016.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda.

Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat, tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan sebanyak RM500,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung dua anak berusia 11 dan enam tahun serta ahli keluarga lain selain menghidap asma.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan pasport antarabangsa miliknya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka.

Meor Sulaiman turut menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Gambar Khairunisah Lokman

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 12:07pm
d