mutakhir

Disyaki seleweng dana RM3 juta [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BEKAS pegawai tadbir kanan badan sains antarabangsa yang beroperasi di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana berjumlah RM3 juta antara 2012 hingga 2017.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Turut direman adalah rakannya berusia 57 tahun.

Bekas pegawai itu ditahan semalam di kondominium di ibu negara pada 10 pagi selepas dipercayai memalsukan tandatangan untuk mendapatkan kelulusan ASM bagi menjalankan program anjuran badan yang diuruskan olehnya.

Difahamkan, suspek yang dilantik secara kontrak sejak 2008 itu dikatakan bersubahat dengan rakannya iaitu seorang awam bagi menyeleweng dana.

Rakannya yang turut ditahan bersama suspek dipercayai menyamar sebagai ahli sains dengan menggunakan gelaran sebagai profesor daripada universiti tempatan yang kononnya mewakili negara ke program yang diadakan di luar negara anjuran badan berkenaan.

Sumber berkata, pegawai kanan itu dipercayai memalsukan tandatangan pegawai atasannya pada dokumen tuntutan bagi pelaksanaan program itu.

Katanya, pegawai itu turut disyaki menyeleweng dana berkaitan pelaksanaan 73 program dalam dan luar negara yang dianjurkan badan itu.

"Suspek didapati mengemukakan invois, bil hotel, tiket penerbangan dan dokumen lain yang disyaki palsu bagi menyokong perbelanjaan program sedangkan ada setengah perbelanjaan itu tidak wujud dan ia bertujuan mendapatkan semula duit itu dengan menyalurkan ke akaun peribadi beliau," katanya.

Selain itu katanya, suspek juga didapati mewujudkan satu jawatan akauntan palsu kononnya untuk membenarkan bayaran lebihan seperti hotel dan tiket penerbangan itu dikembalikan dan dimasukkan ke akaun peribadinya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 12:16pm
d