mutakhir

Kak Ton kena cekup

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG wanita ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini, dipercayai dalang kes penipuan pakej umrah membabitkan 16 mangsa dengan kerugian berjumlah RM117,500 tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berusia 48 tahun ditahan 11.35 pagi selepas memberikan keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Kuantan.

“Berdasarkan fakta kes, pada 25 Januari tahun lalu, seramai 16 mangsa membayar wang sebanyak RM117,500 kepada suspek bagi menunaikan umrah pada Disember lalu.

“Bagaimanapun, pada November 2017, suspek memberitahu mangsa yang pakej umrah dijanjikan tidak dapat dilakukan malah wanita itu juga tidak memulangkan semula wang mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini.

Harian Metro pada 22 Disember tahun lalu melaporkan 48 individu termasuk peneroka Felda Keratong, Rompin, mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 apabila ditipu seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Ton' yang menawarkan pakej umrah.

Mangsa yang kecewa kerana gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember tahun lalu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin.

Difahamkan, Kak Ton adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu terbabit mengerjakan umrah.

Mohd Wazir berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek ialah memperdayakan orang ramai dengan menawarkan pakej umrah yang tidak wujud.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Polis akan bawa suspek ke IPD Rompin dan dia akan dituduh di Mahkamah Majistret Rompin esok," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 4:34pm
d