mutakhir

Agama anak: Hormat keputusan mahkamah

Oleh Mohd Nasif Badruddin

DATUK Seri Najib Razak meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan persetujuan ibu bapa perlu dalam isu penentuan agama anak.

Perdana Menteri mengambil maklum berkaitan Seksyen 88A Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) (Pindaan) 2017 yang membabitkan kepentingan agama.

Katanya, amat sukar untuk memuaskan hati semua pihak, namun yang lebih penting adalah menghormati proses perundangan dilaksanakan di negara ini.

"Memanglah saya kata ada perbezaan pendapat, jadi kita anggap sebagai menghormati (keputusan mahkamah).

"Kita dah ada sistem kehakiman dalam negara. Jadi kita kena terima apa-apa keputusan dibuat mahkamah tertinggi dalam negara kita," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Persekutuan kelmarin memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Ketika mereka diIslamkan pada 2009, kanak-kanak berkenaan masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, disertai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum bersama tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali membuat keputusan sebulat suara.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Presiden UMNO sedang menunggu ilham mencari tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh luput mandat berakhir 24 Jun ini.

Katanya, semua jentera parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) diarahkan supaya bersiap-siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan ia mendapat sambutan positif di setiap peringkat termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Menurutnya, dengan suasana ekonomi negara yang baik dan kadar pengangguran kira-kira empat peratus menunjukkan dasar dilakukan kerajaan BN menunjukkan reaksi positif.

"Jadi umumnya kita berpuas hati dengan keadaan UMNO dan BN. Tentunya kalau kita banding dengan pembangkang dalam sehari dua ini menunjukkan mereka rapuh secara dalaman parti.

"Ini sepatutnya tidak beri keyakinan rakyat atas kewibawaan mereka untuk menjamin kestabilan negara, jauh sekali untuk melaksanakan agenda yang membawa transformasi besar kepada negara," katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 9:21pm
d