mutakhir

Penangan kopi campuran

Oleh Hadzlihady Hassan

DUA lelaki terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang hari ini, selepas pening kerana minum sejenis kopi campuran segera.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah berkata, setakat ini kedua-dua mereka dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan ketika dimasukkan ke unit kecemasan.

“Kita sudah mengambil darah dan menunggu keputusan sama ada simptom yang dialami itu disebabkan kopi atau makanan lain yang dimakan mereka, namun, setakat ini kedua-dua mereka mendakwa simptom itu dialami selepas mereka minum sejenis kopi campuran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, dua lelaki terbabit dikatakan mengalami simptom lemah dan letih selepas minum kopi berkenaan petang tadi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sudah diarah membuat siasatan terperinci mengenai kejadian itu sebelum keputusannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: January 30, 2018 @ 11:03pm
d