mutakhir

Sorok sejam selepas ragut

Oleh HM Digital

Melaka: Lelaki warga Indonesia terpaksa bersembunyi hampir satu jam di sekitar sebuah taman perumahan sebelum ditahan orang ramai selepas meragut beg tangan milik seorang wanita yang juga rakyat senegaranya di jejantas Melaka Sentral, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, suspek dipercayai panik bersembunyi di taman perumahan terbabit selepas dikejar orang ramai yang mendengar jeritan mangsa meminta tolong.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, terdahulu mangsa berusia 20-an bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di negeri ini menggunakan jejantas dari Melaka Sentral untuk ke sebuah pasar raya.

“Secara tiba-tiba suspek berusia 20-an menghampiri dan berhenti di depan kedua-dua mangsa. Dia kemudian merampas telefon bimbit milik rakan mangsa dan melarikan diri namun dikejar kedua-dua wanita terbabit.

“Mangsa memukul suspek menggunakan beg tangan untuk mendapatkan semula telefon bimbit rakannya. Namun dalam keadaan kelam-kabut suspek menarik beg tangan mangsa mengandungi wang tunai berjumlah RM200 dan pasport sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 12:28am
d