mutakhir

PDRM terima bas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebuah bas dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk aksesori dan kemudahan kamera keselamatan dan pintu automatik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bas berkapasiti 20 penumpang itu mempunyai reka bentuk lasak di samping berkuasa tinggi.

“Bas ini juga mampu bergerak dengan mudah dan sesuai digunakan di jalan raya yang sesak khususnya di ibu kota.

“PDRM memanfaatkan sumbangan ini dengan sebaiknya menerusi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dalam melaksanakan aktiviti serta program banteras jenayah,” katanya pada Majlis Penyerahan Bas iCoach Roadrunner kepada PDRM, di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, bas berkenaan boleh diguna dalam program kemasyarakatan di samping penglibatan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) atau Amanita.

“Sumbangan ini adalah hasil inisiatif Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kuala Lumpur melalui jaringan kolaborasi yang wujud antara Syarikat Pelangi iCoach Sdn Bhd.

“Saya yakin dengan kolaborasi bersama syarikat swasta ini, ia banyak memberi manfaat kepada masyarakat dalam meningkatkan keyakinan masyarakat daripada masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Group Pelangi iCoach,Datuk Seri S Kanagendran berkata, sumbangan ini bagi membantu penugasan anggota polis dalam pencegahan jenayah, kawalan keselamatan dan aktiviti kemasyarakatan.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 1:34am
d