mutakhir

Tiga tuduhan rogol kekasih

Oleh HM Digital

Kota Bharu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tiga tuduhan merogol kekasihnya yang berusia 15 tahun, tahun lalu.

Mohamad Shahdan Zulkifli, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun sembilan bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Tapang di sini, jam 11.30 malam, Oktober 2017.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di lokasi sama jam 11.30 malam, pertengahan November 2017.

Tertuduh turut didakwa merogol mangsa sama di rumah kosong di Kampung Tapang di sini, jam 5 petang, pada penghujung November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan untuk laporan perubatan mangsa. Tertuduh bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 2:06am
d