mutakhir

Cari ibu kandung urus dokumentasi

Oleh HM Digital

Tangkak: Remaja perempuan berstatus bukan warga negara meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandungnya yang terpisah sejak 2015 bagi membolehkan dia memohon dokumen pengenalan diri serta proses permohonan anak angkat.

Nor Ain Abdullah, 16, kini tinggal bersama keluarga angkatnya di Grisek di sini selepas ditinggalkan ibunya, Norhayati Yusof ketika berusia 13 tahun.

Ibu angkatnya, Zaharah Selamat, 52, berkata, pada awal November 2015, dia didatangi wanita yang tidak dikenali bersama seorang anak perempuan dan mengadu kepayahan hidup mereka.

“Wanita itu memperkenalkan diri sebagai Norhayati bercerita mengenai kesusahan hidupnya berikutan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan terpaksa menanggung anaknya.

“Norhayati meminta izin untuk tinggal di rumah saya sementara waktu sambil mencari pekerjaan. Tetapi selepas dua hari tinggal di rumah saya, dia menghilangkan diri dan gagal dikesan hingga kini,” katanya yang mengusahakan kedai makan.

Zaharah berkata, sepanjang Nor Ain berada di bawah jagaannya, dia dan keluarga berusaha mengesan Norhayati di sekitar daerah ini dan kawasan lain berpandukan gambar yang ada dalam simpanan remaja berkenaan namun gagal.

“Saya pohon orang ramai yang mengenali Norhayati supaya dapat membantu mengesannya bagi membolehkan proses mendapatkan taraf penduduk tetap Nor Ain dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Selain itu, pengakuan Norhayati sebagai ibu kandung diperlukan bagi mendapatkan persetujuan untuk proses pengambilan anak angkat seperti diperlukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Norhayati boleh menghubungi Zaharah di talian 011-108611465.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 2:17am
d