mutakhir

Kak Ton tak mengaku tipu pakej umrah

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

WANITA dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rompin atas 11 pertuduhan penipuan pakej umrah membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM44,000 sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Zaiton Man, 48, dari FELDA Keratong 6, Rompin bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Mengikut kertas pertuduhan, Zaiton atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ton didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud hingga memperdayakan kesemua mangsa untuk menyerahkan wang secara tunai dan memindahkannya ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Dia yang juga suri rumah melakukan kesalahan itu di FELDA Keratong, bandar Muadzam Shah dan bandar Tun Razak dari Disember 2016 hingga Oktober 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh diwakili peguam Osman Abdullah.

Menerusi peguamnya, tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dia hanya suri rumah dan bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai anggota keselamatan dengan gaji RM3,000 sebulan.

Najwa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,500 dan menetapkan tarikh 15 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu, seorang lelaki dipercayai suami kepada tertuduh mengugut untuk menyaman wartawan yang hadir untuk membuat liputan tentang kes berkenaan sekiranya gambar isterinya disiarkan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara petugas media dan lelaki berkenaan sehingga menarik perhatian orang ramai yang hadir di mahkamah.

Harian Metro pada 22 Disember lalu melaporkan 48 individu termasuk peneroka Felda Keratong, Rompin, mendakwa kerugian kira-kira RM300,000 apabila ditipu seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Ton' yang menawarkan pakej umrah.

Mangsa yang kecewa kerana gagal ke Tanah Suci pada tarikh dijanjikan iaitu awal Disember tahun lalu membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin.

Difahamkan, Kak Ton adalah wakil syarikat berpangkalan di Kamunting, Perak dan syarikat itu pula bekerjasama dengan beberapa agensi umrah lain untuk menghantar individu terbabit mengerjakan umrah.

Kak Ton ditahan selepas hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan jam 11.35 pagi semalam.

Berita berkaitan:

Kak Ton tipu jemaah umrah [METROTV]

Kak Ton kena cekup

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 3:40pm
d