mutakhir

20 tahun hadap banjir

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SEBANYAK 16 rumah di Kampung Batu 38, Alor Pongsu di Bagan Serai dinaiki air setinggi 0.5 meter sejak empat hari lalu berpunca daripada hujan lebat sehingga menyebabkan berlakunya limpahan air dari Kolam Takungan Bukit Merah.

Limpahan air menyebabkan jalan utama di kampung tidak dapat dilalui kenderaan ringan sehingga mengganggu urusan seharian penduduk.

Penduduk, Basri Safie 37, berkata, penduduk di Kampung Batu 38 dan Batu 39 terpaksa berhadapan dengan banjir setiap kali hujan lebat berterusan selama dua jam berikutan berlakunya limpahan air Kolam Takungan Bukit Merah,

Menurutnya, keadaan banjir itu meresahkan lebih 150 penduduk kerana sudah empat hari ia masih belum surut sepenuhnya sehingga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui kenderaan ringan.

"Banjir ini dipercayai berpunca daripada sistem perparitan utama yang sempit berhampiran landasan kereta api dan apabila hujan lebat melebihi dua jam ia akan melimpah.

"Hampir setiap tahun banjir berlaku dan sudah berlarutan lebih 20 tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian dibuat pihak berwajib," katanya selepas menerima lawatan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Basri berkata, keadaan banjir itu selalunya surut antara empat ke lima hari bergantung kepada keadaan cuaca dan pasang surut air laut.

Katanya, lebih membimbangkan kehadiran reptilia berbisa seperti ular yang memasuki rumah disebabkan kawasan itu berhampiran kebun kelapa sawit.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, pihaknya akan membincangkan masalah itu dengan semua agensi kerajaan bagi menangani masalah yang dihadapi penduduk sejak lebih 20 tahun lalu.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 4:28pm
d