mutakhir

40 minit memujuk

Oleh Nur Saliawati Salberi

ANGGOTA bomba dan menyelamat mengambil masa kira-kira 40 minit untuk memujuk seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak mencederakan dirinya menggunakan objek tajam di Taman Krubong Perdana, Melaka, 7 malam semalam.

Lelaki itu yang menghuni tingkat atas rumah kedai dua tingkat bersama dua lagi ahli keluarganya bertindak mengunci pintu jeriji dan duduk di tangga sambil mencucuk tangan kanannya menggunakan objek tajam.

Perlakuannya itu menimbulkan rasa panik dan takut dua ahli keluarganya iaitu wanita berusia 20 dan 60-an kemudian menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.20 malam dan susulan itu lima anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, usaha anggota berkomunikasi dengan lelaki terbabit terbatas berikutan pintu jeriji ke premis berkenaan ditutup menggunakan lapisan zink.

"Komunikasi ketika itu terhad, kami terpaksa mengintai menerusi lubang kunci untuk memantau pergerakan lelaki terbabit. Dia dilihat tidak tentu arah dan mundar-mandir di tangga sambil memegang objek tajam.

"Kami terpaksa mendapatkan bantuan dua ahli keluarganya untuk mengalihkan perhatian lelaki terbabit sebelum ahli bomba ditemani anggota polis memanjat masuk ke tingkat dua menerusi tingkap menggunakan tangga," katanya.

Mohd Hamdan berkata, bomba dan anggota polis berada di dalam premis itu kemudian berusaha memujuk lelaki terbabit untuk menyerah diri dan dia akhirnya akur serta memberikan kerjasama.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan akibat cedera di tangan kanan.

"Dua ahli keluarga lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma terkejut dengan kejadian itu. Lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 6:26pm
d