mutakhir

Terbaiklah orang kampung!

Oleh Azlan Hafeedz

LELAKI berputih mata selepas cubaannya untuk meragut wanita mengandung digagalkan penduduk kampung di Kampung Chengal Pulas, Jalan Pasir Puteh-Machang, Pasir Puteh, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa, Nur Liana Izati Mohd Nor, 24, yang sedang mengandung lima bulan terselamat selepas peragut berusia 38 tahun berjaya ditangkap orang ramai.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhamad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga kakitangan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Kampung Banggol Telipot, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, suspek lelaki yang turut menunggang motosikal mengekori mangsa sebelum terus menarik beg galas mangsa di dalam raga motosikal, namun, gagal apabila ia tersangkut pada besi raga.

"Berikutan itu, kedua-dua motosikal terbabit terbabas ke dalam parit sebelum kejadian disedari orang ramai.

"Suspek berasal dari Machang itu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan hampir lima minit," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, anggota Polis Cawangan Pengangkutan IPD Pasir Puteh kebetulan melalui jalan sama dan terlihat kejadian itu.

"Suspek diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk siasatan lanjut," katanya.

Rozak berkata, ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes ragut dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 7:15pm
d