mutakhir

Cuba nak sogok polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEMBILAN belas individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira 12 tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, seramai 53 individu terdiri daripada pengunjung dan pekerja pusat hiburan diperiksa dalam operasi dijalankan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu.

“Pemeriksaan mendapati 19 individu termasuk sembilan wanita berusia 18 hingga 50 tahun positif pelbagai jenis dadah.

“Sembilan yang ditahan wanita warga tempatan manakala 10 lagi terdiri daripada wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh,” katanya.

Abdul Ghani berkata, dalam serbuan sama, mereka turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang cuba merasuah pegawai polis ketika berada di tandas pusat hiburan berkenaan.

“Suspek menawarkan RM1,100 kepada pegawai berkenaan yang berpangkat Inspektor supaya tidak mengambil sampel air kencing dan sebaliknya menggunakan air paip untuk dimasukkan ke dalam botol urin.

“Pegawai terbabit memberi amaran tiga kali kepada suspek dan bertanya adakah dia menyedari tindakan memberi rasuah kepada penjawat awam adalah salah, namun tidak diendahkan lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

“Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dimaklumkan mengenai kes ini oleh pegawai polis itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 8:16pm
d