mutakhir

Nak RM8 juta, lebur RM510,000

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

PEMILIK sebuah kilang kerugian RM510,000 selepas diperdaya lelaki melalui skim dinamakan 'Dana Hibah' yang menjanjikan keuntungan sehingga RM8 juta.

Mangsa berusia 32 tahun itu menyedari ditipu Oktober lalu selepas wang yang dijanjikan tidak diterima sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa memasukkan wang kali pertama ke akaun suspek berusia 60 tahun itu berjumlah RM10,000 pada 7 Jun 2017.

Selepas itu katanya, mangsa yang menetap di Klang menyerahkan wang tunai masing-masing RM300,000 dan RM200,000 kepada suspek pada 11 dan 14 Ogos 2017.

Beliau berkata, selepas menunggu hampir dua bulan, wang dijanjikan tidak diterima menyebabkan mangsa mengesyaki dirinya ditipu pada awal Oktober lalu.

"Mangsa membuat laporan polis pada 10 Oktober lalu di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan laporan polis itu dihantar ke Balai Polis Pandamaran kerana penyerahan wang berlaku di rumah mangsa (Pandamaran).

"Pada Ahad lalu mangsa membuat satu lagi laporan polis di Balai Polis Pandamaran," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa menyerahkan wang kepada suspek bertujuan mendapatkan wang hibah kononnya untuk membantu usahawan yang memerlukan wang bagi membesarkan perniagaan.

"Sebelum menerima wang itu mangsa mesti menunjukkan kesungguhan dan yakin.

"Mangsa kemudian menyerahkan wang tunai keseluruhan RM510,000 kepada suspek bagi membolehkannya menerima wang hibah yang dijanjikan suspek iaitu RM8 juta selain modal mangsa juga dikembalikan," katanya.

Shamsul Amar berkata, dana hibah itu diwujudkan oleh suspek dan lelaki itu mendakwa mempunyai simpanan RM18 juta untuk diagihkan kepada orang memerlukan.

Beliau berkata, suspek ditahan semalam jam 5.45 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan ketika hadir memberi keterangan.

"Semakan mendapati suspek turut dikehendaki di beberapa daerah seperti Gemencheh, Negeri Sembilan; Kuala Terengganu serta Bandar Baru Klang dan Pandamaran.

"Setakat ini empat mangsa sudah membuat laporan polis berhubung kejadian," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 9:32pm
d