mutakhir

Ajal di mata sabit

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KANAK-kanak lelaki maut terkena sabit yang digunakan pada alat pengait kelapa sawit di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Tiang Darat Bagan Datuk, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa, Mohd Riduan Hakim Abd Rashid, 12, dipercayai ke kebun itu untuk menemani datuknya mengait kelapa sawit disebabkan cuti sekolah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati sabit yang digunakan datuknya itu terjatuh bersama buah sawit sebelum melantun dan terkena bahagian kiri dada kanak-kanak terbabit.

Katanya, mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat parah dan dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Batang, Bagan Datuk untuk menerima rawatan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat parah di dada kirinya.

"Mayat dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 10:46pm
d