mutakhir

Hati, limpa bengkak perut membuncit

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Seberang Jaya: Sepasang suami isteri bukan saja perlu reda dan pasrah apabila bayi perempuan mereka berusia 12 bulan menderita penyakit kegagalan hati sejak dua minggu dilahirkan, malah memperoleh pendapatan tidak menentu yang turut memberi kesan untuk menampung perbelanjaan harian dan rawatan zuriat mereka.

Nor Shahida Chit Wan, 37, berkata, akibat penyakit berkenaan, hati dan limpa anak bongsunya daripada tiga beradik, Nur Hayfa Mohd Azrul mengalami bengkak dan perutnya membuncit.

Dia berkata, pembedahan membuang hempedu sudah dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ketika Nur Hayfa berusia 52 hari selain sebahagian kecil hatinya turut dibuang akibat dijangkiti kuman.

“Nur Hayfa perlu dipantau dan jika mengalami demam, berkemungkinan hatinya dijangkiti kuman, sekali gus perlu dimasukkan ke wad sebulan untuk disuntik antibiotik.

“Nur Hayfa kini perlu bergantung kepada ubat, susu khas dan vitamin tambahan bagi memastikan hatinya tidak rosak sepenuhnya, namun semua keperluan terbabit termasuk lampin pakai buang dan lain-lain lagi membabitkan kos lebih RM800 sebulan,” katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan dan bantuan kewangan daripada Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Abdul Aziz Shaik Ahmad di rumahnya di Taman Tuna di sini, kelmarin.

Nor Shahida berkata, sebelum ini, suaminya, Mohd Azrul Ahmad, 39, yang bekerja sebagai pemandu kontena di sebuah syarikat pelabuhan di Butterworth selama 10 tahun terpaksa berhenti kerja berikutan perlu menjaga Nur Hayfa ketika dimasukkan ke dalam wad selain perlu memberi tumpuan kepada dua anak lain berusia tujuh dan 10 tahun yang masih bersekolah.

“Bagi menjana pendapatan, Mohd Azrul hanya melakukan kerja sambilan seperti kimpalan, membaiki pendingin hawa dan sebagainya dengan gaji hari selain membantu saya mengambil upah menjahit, namun pendapatan kami ada katanya terputus disebabkan perlu menumpukan perhatian lebih kepada Nur Hayfa yang kerap dimasukkan ke wad.

“Duit simpanan habis digunakan untuk rawatan Nur Hayfa, malah bil utiliti yang kini mencecah lebih RM1,000 dan komitmen bayaran rumah sewa RM550 sebulan membuatkan kami buntu,” katanya.

Menurutnya, dia memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun gagal berikutan pihak berkenaan mengatakan penyakit dialami Nur Hayfa tidak kronik.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 4:22am
d