mutakhir

Buka laluan sementara dekat jalan 'berkawah'

Oleh Mohd Sah Muda

Mersing: Lebih 1,000 penduduk dan pekebun sayur di Jemaluang serta FELDA Tenggaroh menyambut baik pembukaan laluan sementara hampir 300 meter di jalan yang mendap di Kilometer 16, Jalan Mersing-Jemaluang untuk kenderaan ringan bermula jam 6 pagi, semalam.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing Mohamad Kamal Mohd Raudzi berkata, pengguna turut diminta supaya mematuhi papan tanda amaran di kawasan berkenaan untuk keselamatan mereka.

“Laluan dibuka bermula jam 6 pagi hari ini (semalam) untuk kemudahan mereka, namun pengguna diminta berhati-hati kerana laluannya terhad.

“Laluan ini hanya untuk kenderaan ringan, manakala kenderaan berat perlu menggunakan jalan alternatif sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Menurut beliau, jalan berkenaan terpaksa ditutup akibat tanah mendap pada 15 Januari lalu menyebabkan pengguna di Jemaluang dan FELDA Tenggaroh terpaksa menggunakan Jalan Jemaluang-Nitar untuk ke bandar Mersing yang mengambil masa lebih lama kerana melalui jalan sejauh 60 kilometer.

Sementara itu, pengguna, Goh Chia Wei, 31, dari Jemaluang berkata, dia lega kerana laluan berkenaan dibuka semula.

“Sepanjang dua minggu lalu, saya terpaksa menggunakan jalan lebih jauh dan menambah tempoh perjalanan hampir dua jam.

“Ramai penduduk berulang alik ke bandar Mersing untuk bekerja dan menjalankan rutin harian. Penutupan jalan mengganggu aktiviti berkenaan serta produktiviti kami,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 4:28am
d