mutakhir

2 pengedar dadah ditahan [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI tempatan, 47, dan wanita warga Vietnam, 32, ditahan polis selepas pemeriksaan menemui cecair klorofom dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah di sebuah rumah di Jalan Besar Bemban Baru, Batu Gajah, 2.45 Petang, 24 Januari lalu.

Selain cecair berkenaan, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah turut menemui dadah jenis heroin seberat 27.0 gram, ketamin (1.12 gram) dan kafein (24.2 gram) dipercayai untuk edaran di sekitar Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, suspek lelaki serta wanita warga Vietnam itu dipercayai pasangan kekasih dan dipercayai sudah empat bulan menjalankan kegiatan itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti pembabitan suspek wanita berkenaan dalam pengedaran serta pembuatan dadah dijalankan lelaki terbabit.

Menurutnya, ujian air kencing dijalankan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis morfin manakala wanita berkenaan positif ampetamin dan methampetamin.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati lelaki berkenaan mempunyai empat rekod membabitkan kes dadah dan satu kes jenayah manakala wanita yang dua tahun berada di negara ini berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kedua-dua mereka direman selama 14 hari sehingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di IPD Batu Gajah hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, selain merampas semua dadah dan cecair klorofom itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Audi TT milik suspek lelaki yang bernilai RM100,000.

Menurutnya, siasatan mengikut Akta Imigresen turut dilakukan terhadap suspek wanita kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Sementara itu, dalam kes berasingan 6.30 petang semalam, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas dadah jenis methampetamin seberat 58.03 gram di hadapan sebuah restoran di Jalan Pusing, Batu Gajah.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 11:32am
d