mutakhir

Lelaki didakwa membunuh

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PENGANGGUR didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, hari ini, terhadap pertuduhan membunuh seorang pesara polis, minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohd Rozani Yahaya, 39, di hadapan Majistret Yusoff Abdullah.

Tertuduh didakwa membunuh Ab Halim Che Yusoff, 69, di tepi rumah di Kampung Apa-Apa Bunut Susu, Pasir Mas pada 12 tengah hari, 25 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Idris, dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pesara polis cedera parah di kepala selepas dipukul dengan objek keras oleh seorang lelaki selepas berlaku pergelutan.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pasir Mas.

Kejadian berpunca selepas mangsa menegur lelaki itu yang bertindak membaling atap bata, batu dan kayu ke arah rumahnya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 12:49pm
d