mutakhir

Pegawai polis didakwa [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

INSPEKTOR polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, terhadap dakwaan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada suspek kes dadah disiasatnya.

Tertuduh, Lee Beng Oui, 37, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang anggota polis, Koperal Aziz Abdullah mewakili bapa suspek kes dadah terbabit di hadapan sebuah rumah beralamat No 1, Blok Ezora Perumahan Polis, Bukit Mentok, Kemaman 11.45 malam pada 29 Februari 2016.

Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan meringankan kesalahan, Asmadi M Ali kerana memiliki dadah selepas ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana ujian awal saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Mohamad Haldar kemudiannya menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 12:53pm
d