mutakhir

Dituduh bakar tokong berusia 154 tahun

Oleh Ifwan Tun Tuah

SEORANG penganggur berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan membakar sebuah tokong lama berusia 154 tahun di Temiang, pada 21 Januari lalu.

L Kogilan, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di depan Hakim Fathiyah Idris.

Dia didakwa melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran di Tokong Then Sze Khoon yang digunakan sebagai tempat sembahyang, kira-kira 5 pagi pada 21 Januari lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan dia diikat jamin RM8,000 dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kogilan yang memakai pakaian lokap jingga, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan pecah masuk dan mencuri tabung besi di tokong sama pada tarikh dan masa yang sama.

Berikutan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret V Vanita tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 13 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 4:50pm
d