mutakhir

Van bawa RM4 juta terbalik

Oleh Norizuan Shamsuddin

VAN milik sebuah syarikat keselamatan yang membawa wang hampir RM4 juta terbalik dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Lapangan Terbang Subang, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dari arah Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Puchong pada 10.35 pagi.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki berusia 35 tahun memasuki laluan hadapan MPV hingga menyebabkan pemandu kenderaan berkenaan tidak dapat mengelak dan melanggar bahagian belakang van.

"Kejadian menyebabkan van berkenaan terbabas hingga melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

"Bagaimanapun, pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi dua penumpang van cedera ringan. Mereka dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan," katanya hari ini.

Beliau berkata, pihak syarikat keselamatan sudah mengalihkan wang di dalam van dengan segera.

"Wang dialihkan ke van lain dengan selamat dan siasatan lanjut berhubung kemalangan dilakukan mengikut Peraturan 10 LN 166/59," katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 4:58pm
d