mutakhir

Habis simpanan Tabung Haji

Oleh Siti Nor Hidayatidayu

PESARA kerajaan kerugian RM200,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam dalam kejadian di Kota Bharu, minggu lalu.

Mangsa lelaki berusia lingkungan 60 tahun menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Lelaki itu menyamar sebagai sarjan dan memberitahu mangsa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram dan sejumlah wang sudah dimasukkan dalam akaun mangsa.

Mangsa diarahkan lelaki yang menyamar polis itu supaya mengeluarkan semua wang simpanannya dalam Tabung Haji dan memasukkan dalam akaun Bank Islam milik lelaki itu.

Mangsa disuruh mendaftar urusan bank secara dalam talian dan diarah melakukan pemindahan sejumlah wang menerusi Internet ke akaun lelaki terbabit.

Pesara berkenaan panik dan terpaksa mengikut arahan kerana percaya lelaki itu adalah anggota polis yang melakukan siasatan kes.

Bimbang keselamatannya, mangsa melakukan transaksi pemindahan beberapa kali pada 9, 10 dan 11 Januari ke akaun berlainan yang diberikan lelaki itu.

Mangsa cuba menyemak akaunnya dan mendapati sejumlah wang simpanannya semakin berkurangan.

Pesara yang akhirnya sedar dia ditipu membuat laporan polis Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 6:45pm
d