mutakhir

Usah lupa temu janji esok

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Penampilan beberapa artis terkenal tanah air, Priscilla Abby, De Fam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Masdo dan Bunkface pada Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima di Angsana Johor Bahru Mall di sini, esok dijangka mampu menarik kehadiran lebih 25,000 pengunjung.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) Mohd Anis Abdullah berkata, persembahan diadakan di pentas utama akan turut menampilkan artis berkumpulan termasuk dari Johor iaitu Plague of Happiness.

Menurutnya, kumpulan yang terkenal dengan muzik bertemakan raggae dan ska itu mampu memeriah dan menghangatkan suasana Festival GegaRia.

“Kumpulan yang membuat persembahan ini tampil dengan identiti tersendiri selain mampu memenuhi cita rasa dan kehendak penduduk Johor menerusi acara hiburan di hujung minggu.

“Selain itu, tarikan utama pastinya persembahan Priscilla Abby, De Fam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Masdo dan Bunkface bermula jam 8 malam hingga jam 10 malam,” katanya.

Mohd Anis berkata, selain acara hiburan, Festival GegaRia turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti percuma seperti permainan, program kecergasan, makanan dan fesyen.

Menurutnya, kanak-kanak diberi peluang menyertai aktiviti permainan buih gergasi yang diadakan sepanjang hari bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang.

“Bagi golongan dewasa, mereka boleh menyertai aktiviti seperti zumba yang turut menawarkan empat jam berjenama berharga RM1,299 setiap satu menerusi pendaftaran atas talian #gogegaria selain peserta turut diberi kemeja-T, bandana dan beg jerut.

“Bagi suri rumah atau mereka yang minat dalam bidang masakan, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke pentas Chill Out bagi menyaksikan demonstrasi masakan oleh chef terkemuka termasuk Chef Naem, Naz, Fikree dan Faizdickie bermula jam 12 tengah hari,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pengisian aktiviti waktu siang bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang dan Zon Throwback Tunnel #Gegaria adalah lokasi terbaik untuk pengunjung menimba inspirasi berharga mengenai perkembangan negara, malah ia mempamerkan era perkembangan Malaysia bermula 1950-an hingga kini.

Selain itu, acara jalanan juga menanti pengunjung termasuk sukan rakyat merangkumi congkak gergasi, baling selipar, teng-teng dan takraw bulat dengan matlamat mempromosi sukan tradisional masyarakat tempatan.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 5:26am
d