mutakhir

Hanya tangisan iringi perpisahan

Oleh Junaidi Ladjana

LULUH hati seorang ibu apabila melihat jasad anak perempuannya yang maut selepas tercampak keluar dari kereta dinaiki dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Simpang U Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, wanita terbabit meraung di sisi mayat anaknya, Nabila Jimos, 16,

yang ditutup dengan kain putih hingga mengundang simpati orang ramai di lokasi kemalangan.

Difahamkan, ibu mangsa dan ahli keluarganya bergegas ke lokasi sebaik mengetahui mengenai kemalangan itu selepas dihubungi oleh rakan Nabila.

Nabila ialah pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, kereta Perodua Bezza warna perak yang dinaiki mangsa bersama enam rakan dikatakan membuat pusingan U secara tiba-tiba lalu terlanggar kereta Perodua Bezza warna biru dari arah belakang.

“Pada masa sama, kereta Honda City dipandu lelaki berusia 50 tahun yang datang dari arah belakang terlanggar kereta Bezza biru.

“Akibat kejadian itu, mangsa (Nabila) tercampak keluar dari kereta dinaikinya ke pembahagi jalan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Kota Kinabalu akibat parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemandu Perodua Bezza biru dipandu lelaki berusia 26 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.

Pemandu Perodua Bezza perak iaitu remaja perempuan berusia 16 tahun dan pemandu Honda City tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 9:26am
d