mutakhir

'Hidup kami bahagia'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MENGHIDAP pelbagai penyakit kronik bukan penghalang buat Nik Rozizah Daud untuk setia menjaga keperluan suaminya yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) lumpuh kedua-dua kaki.

Nik Rozizah, 49, sentiasa bersama Mat Zain Dollah, 56, malah adakalanya perlu mendukung suaminya ke mana saja mereka pergi.

Itu yang dilakukan Nik Rozizah yang menghidap kencing manis, jantung bengkak, darah tinggi dan asma sejak 30 tahun lalu.

Suri rumah itu berkata, suaminya hanya mampu mengengsot dan jika mahu keluar rumah termasuk ke klinik serta kedai, dia akan mendukung suaminya.

Katanya, jika dulu dia menguruskan suami sendiri kerana anak-anak masih kecil, namun kini dia lega dibantu tiga anak berusia antara 17 hingga 29 tahun serta menantu.

“Walaupun suami lumpuh, namun saya bersyukur kerana dia pandai mencari wang dengan menjalankan aktiviti perubatan tradisional yang dilakukan di rumah.

“Ketika suami merawat pesakit, saya akan memberi bantuan. Kami dapat hidup bahagia kerana saya tidak pernah menjadikan suami sebagai beban walaupun perlu menemani dan mendukungnya dari keluar rumah untuk masuk ke kereta sebelum menuju ke sesuatu destinasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar Limbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, semalam.

Nik Rozizah berkata, melalui hasil usaha suaminya, mereka mampu membesarkan tiga anak termasuk mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Sementara itu, Mat Zain berkata, dia sekeluarga tidak pernah meminta bantuan dan berusaha sedaya upaya untuk membesarkan tiga anak.

“Saya tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai halangan dan akan terus berusaha mencari wang selagi masih bernyawa.

“Bagaimanapun, kami mahu pihak berkenaan memberi sedikit bantuan untuk membaiki bumbung dan lantai rumah pusaka peninggalan kedua ibu bapa yang sudah uzur serta dipenuhi lubang,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 5:32pm
d