mutakhir

Mungkin mengandungi dadah

Oleh Siti Sofia Md Nasir

POLIS mengesahkan kopi campuran segera yang menyebabkan lima individu mengalami gejala lemah dan pening keterlaluan, mengandungi bahan asing disyaki dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, rakaman percakapan dengan pegawai Teknologi Makanan, Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang mengesahkan kandungan benda asing, disyaki dadah yang masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, keputusan itu adalah hasil analisa makmal terhadap kandungan paket kopi yang diminum dua warga Nepal sehingga mangsa dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Selasa lalu selepas pitam.

“Hasil analisa sampel paket kopi menunjukkan ia sudah dibuka dan dipaketkan semula kerana bahagian bawah bungkusan ada kesan koyakan.

“Manakala berat paket yang dipaket semula itu menunjukkan penambahan lebih 10 gram daripada berat asal iaitu daripada 40 gram kepada 50 gram.

“Di dalam serbuk kopi itu juga mengandungi bendasing berwarna hijau berbeza dengan kandungan paket asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Anuar berkata, dua warga Nepal berkenaan turut mendakwa menerima kopi campuran segera itu secara percuma daripada wanita tidak dikenali.

Katanya, suspek memberikan bungkusan yang mengandungi 16 paket kecil kopi dan terus beredar tanpa sebarang penjelasan.

“Dalam kejadian pertama Sabtu lalu, dua mangsa menerima rawatan di HPP selepas minum kopi campuran segera itu dan mereka turut memperoleh paket kopi secara percuma daripada seorang individu yang tidak dikenali di sebuah tokong.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 272 Kanun Keseksaan kerana mencampurkan makanan atau minuman untuk jualan dengan benda yang kurang baik,” katanya.

Selasa lalu, dua warga Nepal dimasukkan ke HPP selepas mengalami pening kepala keterlaluan dan pitam selepas minum sejenis kopi segera campuran.

Jabatan Kesihatan negeri turut mengesahkan lima individu termasuk dua warga Nepal terbabit, mengalami gejala sama selepas minum kopi berkenaan.

Berita berkaitan

Kopi campuran segera patuhi syarat

Kenal pasti kandungan kopi campuran [METROTV]

Penangan kopi campuran

Disiarkan pada: February 2, 2018 @ 6:45pm
d