mutakhir

Dua kali 'raya'

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam sekali lagi memberi bayangan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan memaklumkan ia bakal diadakan sebelum 14 Julai.

Perdana Menteri berkata demikian kepada 1,200 peserta Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Masjid Putra di sini, yang mereka akan melalui dulu dua peristiwa ‘raya’ sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Beliau berkata, peserta akan berlepas ke Makkah pada 14 Julai iaitu selepas Aidilfitri.

“Tarikh 14 Julai bererti bahawa dua peristiwa akan terlepas, Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi ‘hari raya’, jadi dua-dua raya, baru tuan-tuan naik haji.

“Tapi kita buat lebih awal lagi supaya tuan-tuan semat dalam hati, kalau kerajaan kita masih kekal, tuan-tuan semua akan menunaikan haji, segala-segalanya tidak berubah, selagi kerajaan tidak berubah, semuanya jalan,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, program penyerahan surat tawaran haji yang memasuki tahun kelapan pelaksanaan itu semakin berjaya selepas kerajaan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi di bawah pimpinan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Katanya, kejayaan program yang diilhamkan beliau pada 2011 itu kini sudah menghantar seramai 5,711 golongan agamawan serta pemimpin di peringkat akar umbi untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu yang dibantu Yayasan 1MDB serta Lembaga Tabung Haji (TH) selaku badan utama dalam pengendalian dan urusan menunaikan ibadat berkenaaan.

“Saya dapat bayangkan perasaan jemaah haji yang berjaya kita hantar yang nyata cukup bersyukur kerana pada mereka tanpa program ini, tidak mungkin merasai nikmat mengerjakan haji.

“Tahap kesyukuran mereka cukup menyayat hati saya, tetapi penghargaan kerajaan ini tidak mungkin dilaksana jika kita tidak mempunyai hubungan baik dengan Raja Salman.

“Ramai masyarakat Islam negara ini berpeluang menunaikan ibadat haji hasil hubungan baik itu, malah keberangkatan Raja Salman ke Malaysia pada tahun lalu juga membawa kepada tambahan kuota haji bagi jemaah Malaysia untuk musim haji kali ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun ada pihak tertentu membuat tohmahan konon skandal perniagaan yang menyelubungi 1MDB menyebabkan mereka yang ke Tanah Suci melalui tajaan Yayasan 1MDB tidak mendapat haji yang mabrur, tetapi hakikatnya program itu terus mendapat perhatian memberangsangkan daripada masyarakat.

“Jangan kata wang itu lesap begitu saja...itu hutang dan ia boleh dibayar. Jangan fitnah, kalau ada yang tidak betul, kita betulkan.

“Sebaliknya, kenyataan individu itu yang sebenarnya terbabit dalam urus niaga yang menyebabkan lebih banyak kerugian kepada negara sudah disangkal oleh seorang mufti dengan menyatakan soal mabrur adalah ketentuan Allah dan manusia tiada hak untuk menentukannya, lebih-lebih lagi oleh individu yang bukan ahlinya,” katanya.

Najib berkata, jika pentadbiran kerajaan tidak berada pada landasan yang betul iaitu mengikut syariat Islam, mana mungkin Raja Salman memberi pertimbangan dalam soal penambahan kuota haji malah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama yang baginda kunjungi semasa melakukan lawatan rasmi ke rantau ini tahun lalu.

Selain itu, Najib mahu bakal jemaah berterima kasih kepada TH kerana memberikan kuota haji kepada program berkenaan selain mengekalkan kadar bayaran RM9,980 bagi mereka yang akan menunaikan haji musim ini.

“Kita kena ingat, kerajaan melalui TH sudah memberi subsidi yang amat besar kepada jemaah kita di mana mereka hanya membayar RM9,980 manakala RM12,470 lagi ditanggung TH dan ini tidak termasuk pelbagai kemudahan lain yang dinikmati jemaah ketika di Tanah Suci,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 4:56am
d