mutakhir

Buat cemas emak, ayah

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Tindakan seorang murid sekolah menumpang tidur di rumah rakannya tanpa memaklumkan keluarga menyebabkan ibu bapa kanak-kanak itu panik.

Malah kehilangan kanak-kanak itu turut menjadi tular di media sosial apabila ‘mangsa’ gagal dijejaki sehingga lewat malam kelmarin.

Murid terbabit, Ahmad Danish Haiqal, 12, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Subang di sini, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan hingga jam 10 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu bapa mangsa di Balai Polis Sungai Buloh di sini, selepas menyedari anak mereka tidak pulang ke rumah.

“Bagaimanapun kami dimaklumkan pihak sekolah bahawa kanak-kanak itu hadir ke sekolah seperti biasa jam 7 pagi semalam.

“Difahamkan kanak-kanak itu menumpang tidur di rumah rakannya di Kampung Baru Subang, di sini, menyebabkan ibu bapanya menyangka Ahmad Danish hilang,” katanya.

Menurutnya, polis menutup kes itu selepas kanak-kanak ditemui dalam keadaan selamat.

“Kejadian ini cuma salah faham antara kanak-kanak itu dan ahli keluarganya. Laporan polis sudah ditarik oleh ibu bapa kanak-kanak itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 5:12am
d