mutakhir

Rayuan batu hitam

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Keistimewaan Pantai Batu Hitam, Beserah di sini, tidak perlu diperkenalkan lagi apabila keunikan pantai yang mempunyai longgokan batu hitam sepanjang 200 meter (m) menghampar di kawasan pesisirnya menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar Pahang.

Longgokan batu hitam di kawasan pantai itu adalah fenomena semula jadi yang dipercayai berlaku sejak ratusan tahun lalu dan kini terus menjadi nadi tarikan pelancong serta pencinta alam.

Bagi pencari kulit siput dan kerang di kawasan batu hitam itu adalah tempat strategik untuk menemui spesies kulit kerang yang unik sebaik air di pantai mula surut.

Namun kini Pantai Batu Hitam berdepan cabarannya tersendiri apabila perlu mengekalkan keindahan ekosistem dan struktur batu hitam yang ada di pesisir pantainya daripada dimamah hakisan baik secara semula jadi mahupun angkara tangan-tangan ‘gatal’ manusia.

Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang bagi memastikan kesinambungan ekosistem Pantai Batu Hitam terus terpelihara.

Katanya, JPS Pahang sudah menggerakkan beberapa usaha bagi memastikan tiada pencemaran di sekitar kawasan pantai dan kerosakan pada longgokan batu hitam dengan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam usaha melindungi khazanah alam itu.

“Kami tahu pantai ini terletak berhampiran Pelabuhan Kuantan namun langkah memeliharanya tidak diabaikan. Kami akan memastikan pemaju di kawasan Pelabuhan Kuantan mematuhi akta sedia ada selain JAS akan melakukan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk sesuatu projek pembangunan ingin dilakukan.

“Jika tidak memenuhi standard piawaian ditetapkan maka pihak pemaju perlu mengubah semula perancangan mereka atau sesuatu projek tidak dibenarkan berjalan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mengambil contoh pembinaan tambak pantai dan sungai di kawasan sekitar ia perlu dirujuk kepada JAS terlebih dulu untuk kajian dan pertimbangan dilakukan sebelum ia diluluskan.

Katanya, pembinaan tambak tidak mengikut perancangan boleh menjejaskan kawasan pantai sekali gus menyebabkan berlaku hakisan.

Rosli berkata, selain itu pihaknya turut mempunyai undang-undang dan peraturan untuk kapal yang belayar berhampiran kawasan Pantai Batu Hitam untuk tidak sewenang-wenangnya membuang sisa kapal yang boleh membawa pencemaran.

“Pemantauan kualiti air di kawasan pantai turut dilakukan bagi memastikan tidak ada sisa tumpahan minyak atau sisa pencemaran lain dilakukan,” katanya.

Katanya, selain itu beberapa saliran air seperti sungai dan parit yang menghala ke Pantai Batu Hitam turut diperiksa supaya tidak mengundang pencemaran.

Beliau berkata, namun faktor semula jadi seperti hakisan pantai akibat perubahan iklim dan geografi tidak mampu dikawal JAS sebaliknya usaha melindungi keindahan angkara perbuatan manusia diteruskan.

“Sebagai contoh di Pulau Langkawi mempunyai Pantai Pasir Hitam, begitu juga di Kuantan. Perkara semula jadi ini harus dikekalkan untuk kesinambungan generasi akan datang,” katanya.

Rosli berkata, kandungan sampel air sentiasa diperiksa dan diuji di makmal untuk memastikan ia tidak tercemar disebabkan sisa yang dibawa dari sungai berhampiran.

Menurutnya, air pantai yang tercemar bukan saja menyebabkan kemerosotan kehadiran pengunjung malah boleh menyebabkan habitat dan hidupan laut turut musnah.

“Usaha ini perlu datang daripada semua pihak dan bukan tanggungjawab JAS saja, kami harap masyarakat juga bersama membantu mengekalkan anugerah alam yang ada di Pantai Batu Hitam ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 6:00am
d