mutakhir

Dua penyamun ditahan kurang 24 jam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Tindakan pantas polis membolehkan dua penjenayah yang menyamun sebuah restoran di Desa Jaya di sini, diberkas dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Desa Jaya di sini, jam 1 pagi Rabu lalu.

“Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian samun sebuah restoran di kawasan sama.

“Kedua-dua suspek direman seminggu bermula 1 hingga 7 Februari bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 pagi Selasa lalu, beberapa individu yang menaiki kereta Proton Wira berhenti di depan restoran berkenaan.

Seorang suspek keluar dari kenderaan dan mengugut pekerja restoran menggunakan parang supaya menyerahkan wang tunai serta barangan berharga.

“Sebaik saja barang berharga diperoleh, suspek dikatakan menyerang pekerja restoran itu hingga cedera.

“Mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan,” katanya yang masih menyiasat jumlah sebenar kerugian.

Beliau turut menafikan dakwaan tular di media sosial menuduh polis lambat tiba di lokasi kejadian.

“Tindakan segera diambil polis sebelum kami memberkas dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Pada masa sama, kami masih memburu beberapa lagi individu dipercayai terbabit dalam kes sama,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 6:39am
d