mutakhir

Lima leka golek bola dicekup

Oleh HM Digital

Cyberjaya: Lima lelaki yang leka bermain judi bola golek tidak sempat melarikan diri apabila ditahan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Semua mereka ditahan dalam serbuan dijalankan di tapak projek pembangunan Cyberjaya Flagship Zone di sini, malam kelmarin.

Lima lelaki ditahan itu membabitkan dua pekerja tapak pembinaan warga Bangladesh, seorang lelaki Indonesia serta dua lelaki tempatan yang juga penganjur pertaruhan judi bola golek.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, ketika ditahan lima lelaki terbabit sedang berjudi di kawasan lapang dengan hanya berbekalkan cahaya lampu kalimantang.

Katanya, kesemua suspek ditahan sedang leka bertaruh judi dan tidak menyedari kehadiran anggota polis yang memerhatikan pergerakan mereka.

“Ketika diserbu, mereka memang tidak sedar kehadiran anggota polis dan terkejut apabila dikepung.

“Malah, dalam serbuan itu polis turut merampas wang pertaruhan bernilai RM628 milik kelima-lima lelaki terbabit,” katanya.

Norhizam berkata, selain wang tunai, pihaknya turut merampas sehelai tikar, papan bola golek, sebiji bola getah, alat penimbang air, bedak, lampu dan satu unit bateri kereta.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 6:49am
d