mutakhir

30 minit punggah mercun

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

HANYA 30 minit diperlukan oleh sekumpulan lelaki untuk memuatkan 76 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM250,000 ke dalam dua lori di Tumpat, malam tadi.

Bagaimanapun, serbuan yang dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, pada 9.30 malam di pengkalan haram Zulkifli, Tualang, Simpangan tidak berjaya menahan kumpulan lelaki terbabit.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman, berkata, serbuan dilakukan selepas risikan di bawah Op Khas bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kelantan.

“Menurut maklumat yang diperolehi, kita mendapati beberapa lelaki sedang memunggah kotak dari tebing Sungai Golok ke dalam dua lori di pengkalan haram terbabit.

“Ketika serbuan dilakukan, anggota terpaksa memanjat tembok setinggi empat meter yang mengelilingi pengkalan haram berkenaan,” katanya ketika sidang media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, hari ini

Beliau berkata, menyedari kawasan terbabit diserbu, sekumpulan lelaki terbabit melarikan diri dan ada di antara mereka terjun ke dalam sungai dan meloloskan diri ke dalam semak berhampiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita dapati kotak terbabit berisi 41 jenis mercun dan bunga api yang dipercayai untuk pasaran negeri ini.

“Kita juga mendapati mercun dan bunga api terbabit adalah untuk sambutan Tahun Baru Cina dan pengkalan haram berkenaan dijadikan pusat untuk mengambil barang terlarang,” katanya.

Ahmad Amri berkata, pihaknya bertindak merampas mercun dan bunga api terbabit termasuk dua lori yang ditinggalkan.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM280,000 termasuk lori dan kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan suspek masih dikesan,” katanya.

tamat

Keterangan gambar

AHMAD Amri (dua kanan) menunjukkan mercun yang dirampas pihaknya dalam Op Khas di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini.

#kw seludup, mercun

#loc 6.1990689999999997, 102.169372

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 1:15pm
d