mutakhir

20 minit mengucap, doa diselamatkan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya

“Sepanjang 20 minit penjenayah berada dalam rumah, saya hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah.

“Saya tidak henti-henti menyebut nama Allah SWT supaya kami diselamatkan," kata pesara guru, Zaimah Zakaria, 60 menceritakan detik cemas apabila beliau dan kakaknya, Zaiton, 63, dirompak di Kampung Petaseh Hilir, Jelebu semalam.

Zaimah berkata, dalam kejadian 9 pagi itu, mereka berdua sedang menunaikan solat sunat dhuha di bilik berasingan sebelum beliau ternampak kelibat individu dari luar jendela.

"Sebaik menghabiskan solat, saya bergegas ke dapur sebelum seorang lelaki menendang pintu sekuat hati. Dia menerjah masuk rumah lalu memukul bahu kiri dan paha saya menggunakan kayu di dapur," katanya ditemui di rumahnya, hari ini.

Zaimah berkata, penjenayah itu juga menendang perutnya dalam keadaan masih bertelekung.

"Lelaki itu arahkan saya dan kakak diam, jika tidak mahu diapa-apakan. Kami berdua tidak henti mengucap dua kalimah syahadah kerana bimbang dicederakan lebih teruk," katanya memberitahu Zaiton adalah orang kurang upaya (OKU).

Menurut Zaimah, penjenayah menggeledah rumah dan melarikan dua telefon bimbit, komputer riba, beg tangan, barang kemas, buku bank beserta wang tunai RM600.

"Walaupun sudah meraih hasil rompakan, lelaki itu masih bertindak agresif apabila mengambil parang di dapur dan mengacukan pada leher. Sebelum beredar, dia meminta kunci kereta lalu melarikan Toyota Rush," katanya memaklumkan jumlah kerugian ditanggung adalah hampir RM50,000.

Beliau kemudian memberitahu jiran dan laporan dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu pada 10.35 pagi.

Warga emas terbabit belum berkahwin menjaga kakaknya yang mengidap penyakit saraf selepas kematian ibu bapa mereka sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, polis giat mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 392/ 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 5:58pm
d