mutakhir

Mujur cepat bertindak

Oleh Suzianah Jiffar

TINDAKAN pantas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Nordin Pauzi berjaya menyelamatkan ambulans daripada musnah terbakar sepenuhnya di Jalan Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, ambulans Hospital Kota Marudu itu hanya terbakar 20 peratus di bahagian enjin dan tiada kecederaan dilaporkan selepas empat penumpang termasuk seorang pesakit berjaya menyelamatkan diri.

Nordin berkata, ketika itu, beliau dalam perjalanan pulang selepas selesai berjoging di Taman Ujana Rimba Tropika, Jalan Penampang, Kota Kinabalu.

“Ketika dalam perjalanan pulang, saya melihat ambulans berasap dan terbakar di bahagian enjin. Tanpa berlengah, saya memberhentikan kenderaan lalu bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, saya meminta tolong pengawal keselamatan yang berada di situ supaya mengambil alat pemadam api.

“Saya terus memadam kebakaran menggunakan empat alat pemadam api dan tidak lama kemudian jentera bomba tiba membantu memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tindakan awal itu berjaya mengawal api daripada merebak ke kenderaan yang berdekatan.

“Ada dua kereta berada dekat dengan ambulans itu, asib baik kita dapat mengawal api terlebih dulu daripada merebak sebelum ketibaan jentera bomba," katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.49 malam dan sebuah jentera dengan kekuatan 10 angggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan ambulans yang terbakar 20 peratus dan operasi tamat poada 8.10 malam.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan ambulans itu dalam perjalanan ke QEH dari Kota Marudu yang sedang membawa pesakit," katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 11:27pm
d