mutakhir

Roti sardin untuk TPM

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

Bagan Datuk: Roti sardin, nasi lemak, mi goreng dan teh tarik dihidangkan oleh Mohd Kamal Idris kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang singgah di warungnya di Hutan Melintang di sini, semalam untuk bersarapan.

Ahmad Zahid tiba di Warong Kopi Atan Deris di tepi jeti Hutan Melintang di tebing Sungai Perak jam 9.30 pagi sebelum bermesra dengan kira-kira 100 penduduk tempatan di kawasan itu.

Ahmad Zahid kemudian merasmikan sebuah chalet dikenali sebagai Chalet Tok Cardeen bersebelahan warung berkenaan, sebelum meninjau keadaan jeti dan pondok nelayan di situ.

Bercakap kepada penduduk, Ahmad Zahid berkata, jeti dan pondok berkenaan akan dinaik taraf tidak lama lagi.

“Kerajaan bersetuju dengan permohonan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menaik taraf jeti ini dengan peruntukan RM280,000,” katanya.

Mohd Kamal, 42, teruja apabila diberitahu oleh ketua kampung Hutan Melintang mengenai kunjungan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiga hari lalu.

“Saya teruja mendapat tahu kehadiran Ahmad Zahid ke sini kerana beliau pernah datang kira-kira 10 tahun lalu,” katanya yang mewarisi warung berkenaan daripada bapanya, Idris Rahim, 64.

Sementara itu, abang kepada pemilik Chalet Tok Cardeen, Hashim Saadin, 50, berkata adiknya, Durahim, membuka chalet dua bilik itu kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, chalet itu sering disewa kaki pancing dan ahli keluarga yang pulang ke kampung terutama ketika cuti umum, hujung minggu dan cuti persekolahan.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 4:59am
d