mutakhir

Ke Tanjung Malim naik ETS

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Tanjung Malim : Kehadiran Perdana Menteri bersarapan bersama penduduk setempat di Medan Selera Tanjung Malim di sini, semalam menarik perhatian ramai pengunjung untuk bermesra selain merakam gambar bersama beliau.

Datuk Seri Najib Razak yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai tiba di medan selera itu jam 9.45 pagi dengan menaiki bas dari Stesen Kereta api Tanjung Malim selepas menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur.

Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit bermesra dengan wakil penduduk sambil menikmati kuih pau, apam balik dan nasi lemak.

Pesara guru, Mukhlas Kasimin, 74, berkata, dia teruja dan tidak menyangka dapat duduk untuk bersarapan di sebelah pemimpin nombor satu negara buat kali pertama.

Katanya, baru semalam wakil Majlis Daerah Tanjung Malim menghubunginya untuk bersarapan semeja dengan Najib dan penghormatan itu tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Perdana Menteri seorang yang mudah mesra serta peramah orangnya, beliau turut bertanya khabar kami serta keadaan di Tanjung Malim.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau kerana sudi singgah di sini bertemu rakyat kerana tidak semua orang mendapat peluang sebegini dan tidak semua tempat beliau pergi,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 5:17am
d