mutakhir

10 ahli sindiket dadah 'kantoi'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Negeri Sembilan menumpaskan sindiket pengedaran dadah di daerah Seremban menerusi Op Khas yang dijalankan pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, operasi dijalankan bermula 10 malam hingga 6.13 pagi itu hasil maklumat dan risikan dilakukan.

“Polis menyerbu dua rumah dan menahan sebuah kenderaan di Senawang, Bandar Sri Sendayan serta Mambau. Seramai tujuh lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 46 tahun disyaki pengedar dadah ditahan.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 173 gram, heroin (163.7 gram), pil Eramin 5 (55 gram) dan ketamin (4.5 gram) dianggarkan bernilai RM20,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penahanan itu, Mohd Faisal berkata, pihaknya turut menyita kenderaan, barang kemas dan wang tunai milik suspek berjumlah lebih RM77,000.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati ada antara suspek positif dadah, malah turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat bagi membantu polis memerangi kegiatan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 11:12am
d