mutakhir

Bahana angkara si durjana...

Oleh Kandau Sidi

KEGIATAN mencuri besi penutup longkang yang berleluasa nyaris meragut nyawa seorang warga emas apabila terjatuh ke dalam longkang berkedalaman tiga meter di Jalan Miri-Pujut, di sini, hari ini.

Difahamkan, laluan berkenaan adalah laluan rutin warga emas berkenaan, malah mangsa berusia 60-an itu tidak menyangka besi penutup longkang terbabit tiada ketika melaluinya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Penguasa Bomba Kanan II Abang Mohd Fazil Abang Abdul Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7 pagi oleh orang ramai memaklumkan seorang warga emas terperangkap apabila terjatuh ke dalam longkang itu.

“Bertindak atas maklumat, sebuah jentera bersama tujuh anggota dihantar ke lokasi, dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa dari longkang itu dengan menggunakan alat pengusung khas," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik yang turut berada di lokasi kejadian untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, BBP Miri turut mengambil inisiatif menutup kawasan longkang yang terdedah itu dengan kubikal penghadang plastik bagi mengelak kejadian berulang.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 12:50pm
d