mutakhir

Amalkan baca al-Quran

Oleh Amrullah Abdul Karim

API misteri yang membakar beberapa barangan di Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung sejak seminggu lalu masih belum reda.

Empat kebakaran baru dilaporkan berlaku dalam tempoh 48 jam dan usaha rawatan secara Islam yang dilakukan enam pengamal perubatan alternatif masih belum dapat merungkai misteri itu.

Pengamal perubatan dari Pusat Rawatan Karaton, Ustaz Kamarudin Amir Husin, 63, berkata, terdapat gangguan makhluk halus di pusat pemulihan dadah itu dan beliau sendiri berdepan kejadian pelik ketika melakukan rawatan dengan bacaan ayat suci al Quran.

"Ketika saya bacakan ayat al-Quran terdapat kebakaran di sebuah daripada bilik di tingkat atas.

"Dengan izin Allah SWT, rumah ini sudah bersih daripada gangguan makhluk halus.

"Bagi mengelak kehadiran dan gangguan makhluk ini lagi penghuni rumah ini perlu amalkan bacaan ayat al-Quran," katanya.

Menurutnya, rumah itu lama tidak dihuni dan jika lama terbiar kosong serta tidak diisi dengan bacaan al-Quran, maka makhluk halus mudah masuk.

Pengurus rumah tersebut, Mohd Audi Azlie Mat Tahar, 39, berkata, kejadian pelik itu disedari berlaku selepas mereka gotong-royong membersihkan kawasan rumah pertama yang terletak di bahagian belakang.

"Terdapat dua unit rumah di pusat pemulihan ini yang dibuka sejak November 2015 dan sehari sebelum kejadian pelik ini berlaku, kita ada buat gotong-royong membakar sampah di tanah sebelah belakang untuk projek tanam jagung.

"Tahun lalu pun kita pernah bersihkan tempat sama sebab ular masuk, tetapi tak ada apa berlaku.

"Kejadian kali ini memang mengejutkan semua penghuni sehinggakan kami terpaksa keluarkan semua barang dan letakkan banyak baldi berisi air di sekeliling rumah sebagai persediaan jika terbakar lagi," katanya kepada Harian Metro semalam.

Menurutnya, sifat api yang mengganggu itu dianggap berbeza dengan api biasa kerana ia bermula dengan bau hangit dan terus marak walaupun tanpa angin, malah bahangnya tidak sepanas biasa serta mudah dipadam.

Berita berkaitan

Bau hangit api misteri

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 6:55pm
d