mutakhir

200 penghuni hilang kediaman

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LEBIH 200 penghuni hilang tempat tinggal selepas 36 daripada 63 pintu Rumah Panjang Nyipak, Jalan Sebauh Pandan, Bintulu, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Kejadian disedari penghuni pada 9 malam sebelum bomba dihubungi untuk tindakan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.21 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan Samalaju dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, api marak dengan cepat kerana sebahagian besar struktur rumah panjang berkenaan dibina menggunakan kayu.

"Rumah panjang berkenaan keseluruhannga didiami 406 penghuni namun kebakaran menyebabkan lebih 200 yang lain hilang tempat tinggal.

"Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku di pintu rumah kesembilan sebelum merebak ke bahagian lain di rumah panjang berkenaan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian semua penghuni sempat menyelamatkan diri namun kebanyakan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Katanya, operasi pemadaman juga dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sebauh selain polis dan Klinik Kesihatan Sebauh membantu menguruskan penghuni yang terjejas.

"Pasukan forensik kebakaran akan dipanggil ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 8:48am
d