mutakhir

Keluarga 'jahanam'

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Enam warga Thailand termasuk suami isteri ditahan bersama empat pistol, 164 peluru hidup dan komponen bom buatan sendiri dalam serbuan di dua rumah berasingan di Ketereh di sini, awal pagi semalam. Dalam serbuan jam 2.30 pagi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, semua suspek ditahan berusia 19 hingga 55 tahun mempunyai hubungan kekeluargaan.

Polis turut merampas pelbagai dadah termasuk syabu dan eramin 5.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, empat pistol termasuk jenis Smith & Wesson dan Rev 22 yang antaranya disorok di dalam ketuhar gelombang mikro dirampas.

Katanya, semua yang ditahan menyewa di rumah itu sejak pertengahan tahun lalu dan masuk ke negara ini secara haram.

“Siasatan mendapati semua pistol itu diperoleh dari negara jiran dibeli dengan harga RM5,000 hingga RM6,000 yang kemungkinan untuk disewa kepada penduduk tempatan.

“Kami juga menyiasat sama ada penggunaan senjata itu untuk kegiatan dadah atau sebaliknya.

“Kami tidak menolak kemungkinan pistol dibawa masuk itu secara sedikit demi sedikit melalui pangkalan haram bagi mengelak dikesan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan turut menemui beberapa komponen bom buatan sendiri termasuk bateri, papan litar, mercun dan sulfur di dalam bakul.

“Unit pemusnah bom (UPB) IPK Kelantan turut hadir untuk pemeriksaan bom buatan sendiri itu.

“Siasatan mendapati bom buatan sendiri tiada kaitan dengan Daish dan kami percaya kegunaan bom untuk menyelamatkan diri mereka,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman bermula hari ini hingga 10 Februari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971); Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960; Seksyen 7 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan Bahan dan Letupan 1959,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama 1,530 pil kuda dan heroin seberat 31.5 gram anggaran RM33,300 Kampung Telok Sawa, Pasir Mas, Jumaat lalu.

“Suspek direman sehingga 8 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 10:31am
d