mutakhir

Berjenama tetapi murah [METROTV]

Oleh Abdul Razak Raaff dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Temerloh: Sebanyak 50 barangan keperluan harian pelbagai jenama di jual lebih murah di rangkaian pasar raya seluruh negara yang menjadi rakan kongsi kepada Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) 2.0.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak 51 outlet KR1M 2.0 akan beroperasi di seluruh negara mulai bulan ini.

Beliau berkata, KR1M 2.0 sasar buka 300 outlet di rangkaian pasar raya di seluruh negara yang akan dipilih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sehingga hujung tahun ini manakala sasaran 3,000 outlet bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Saya yakin KR1M 2.0 menawarkan barangan berjenama dan berkualiti, sekali gus menjadi pilihan rakyat di bandar dan luar bandar,” katanya ketika melancarkan KR1M 2.0 di Pasar raya TMG, di Temerloh di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

KR1M 2.0 yang dilancarkan itu ialah pembangunan semula daripada inisiatif KR1M diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta dibantu kerajaan sejak 2011.

Melalui KR1M 2.0 kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK) memperkenalkan model baru yang lebih terbuka, berdaya saing dan beri peluang lebih ramai peniaga runcit menyertai KR1M 2.0

Model barunya berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Najib juga berkata, KR1M 2.0 tidak lagi menjual barangan yang tidak berjenama kerana hasil maklum balas kita dapati rakyat lebih berminat dengan yang mempunyai jenama, tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pasaran.

Katanya, inisiatif kerajaan ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Kita harap rakyat datang beli-belah di outlet KR1M 2.0 ini dan buat perbandingan dengan kedai biasa…saya harap kalau nak jimat berbelanja kita mesti menjadi pengguna yang bijak dan berhemah.

“Jadinya, pergilah ke kedai yang jadi rakan kongsi KR1M 2.0 ini dan ia akan beri keuntungan bukan sahaja kepada pembeli, tetapi juga kepada pekedai yang mengambil bahagian dalam skim ini kerana mereka mendapat pelanggan yang lebih ramai berbanding sebelum ini,”katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 11:23am
d