mutakhir

Guru rayu bantuan kos rawatan kakitangan awam

Oleh HM Digital

Sabak Bernam: Seorang guru berharap permohonannya mendapatkan kemudahan rawatan bagi kakitangan awam disegerakan bagi menampung kos rawatan sakit buah pinggang.

Noraziah Abdul Rahman, 54, yang menderita penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu, menjalani hemodialisis tiga kali seminggu dengan bayaran RM200 sekali rawatan.

Beliau yang berkhidmat sejak 1990 berkata, bayaran berkenaan tidak termasuk kos ubat RM80 setiap kali rawatan.

“Saya membayar RM3,360 sebulan untuk rawatan kerana permohonan kemudahan untuk kakitangan awam belum diterima,” katanya.

Terdahulu Noraziah menerima kunjungan Pengerusi Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Selangor, Megat Pauzi Ibrahim.

Noraziah berkata, berikutan perlu membayar kos rawatan, ia amat menyukarkannya yang berpendapatan RM6,200 sebulan, namun bersyukur menerima bantuan daripada anak bekerja.

Katanya, selain masalah buah pinggang, beliau juga sakit pada bahagian paru-paru yang menyebabkan sukar bernafas.

“Saya harap pihak berkenaan menyelesaikan permohonan kemudahan rawatan bagi kakitangan awam agar kesulitan saya dapat dikurangkan.

Sementara itu, Megat Pauzi berkata, bantuan kewangan daripada tabung kebajikan kesatuan itu diharap meringankan beban Noraziah.

“Kami memanjangkan perkara ini kepada Koperasi KGMMB Berhad supaya Noraziah diberi bantuan seperti termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Pada masa sama, Kaunselor Organisasi Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Mustafa Kamal Adam turut melawat dan memberi jaminan membantu Noraziah.

Mustafa Kamal berkata, kelulusan bagi rawatan kakitangan awam diterima, namun ada beberapa perkara belum diselesaikan seperti laporan perubatan dan perbelanjaan rawatan dari hospital.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 11:35am
d