mutakhir

Usus terjulur

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu nasib seorang penduduk Taman Desa Dahlia, Senawang, di sini, Jeffri Idris, 51, yang menderita penyakit Akromegali sejak 2000 menyebabkan dia turut menghidap barah usus dan paru-paru tahap empat.

Akromegali masalah kelainan pada pertumbuhan hormon berlebihan disebabkan kelenjar hipofisis. Ia jarang berlaku dan dilaporkan menimpa empat individu dalam sejuta.

Jeffri berkata, biarpun menghidap Akromegali sejak 18 tahun lalu, dia hanya mengetahui mengenai kanser berkenaan awal 2015 selepas pemeriksaan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

“Sehubungan itu, pembedahan dibuat di hospital dan akibatnya, usus di perut kini terkeluar. Jika mahu pulih, pembedahan baru perlu dijalankan, tetapi bergantung keadaan kesihatan dan nasihat doktor,” katanya.

Menurutnya, dia kini membuang najis menggunakan beg stoma yang disambung ke saluran usus.

“Masalah ini juga menyebabkan saya berdepan sakit saraf, badan lemah, mata kabur dan kurang mendengar. Saya pemandu lori sebelum ini dan diberhentikan kerja kerana tidak boleh menahan panas,” katanya selepas menerima kunjungan Presiden Persatuan Akromegali Malaysia (MyAcro), Wan Yusoff Wan Abdullah dan Timbalannya, Ungku Tik di restoran di Senawang, kelmarin.

Bapa dua anak berusia 18 dan 16 tahun itu berkata, dia kini tidak boleh bekerja dan bergantung pada isterinya yang juga operator di kilang di Senawang dengan berpendapatan RM1,000 sebulan.

“Saya tertekan kerana tidak boleh menyara keluarga, malah perlu membiayai kos rawatan tinggi. Saya perlu RM720 sebulan untuk membeli 60 beg stoma,” katanya memberitahu membuat pemeriksaan di HTJ tiga bulan sekali.

Menurut Jeffri, dia tidak menerima mana-mana bantuan kecuali daripada Baitulmal Negeri Sembilan yang menyalurkan 20 beg stoma setiap bulan.

“Saya harap boleh bekerja semula untuk meringankan beban isteri. Saya juga memohon bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tetapi hingga kini tiada jawapan,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 11:50am
d