mutakhir

Jangan bergantung pada air jampi

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENGGUNAAN air jampi yang bertujuan melembutkan hati anak yang degil tidak menjadi kesalahan selagi ia tidak menggunakan unsur bertentangan dengan agama Islam.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad bagaimanapun menasihati masyarakat khususnya umat Islam supaya tidak terlalu bergantung kepada penggunaan air jampi atau penawar untuk mendidik anak.

"Kebiasaannya orang akan berjumpa ustaz atau tokoh agama untuk mendapatkan air penawar sebagai ikhtiar melembutkan atau menerangkan hati seseorang.

"Hakikatnya keberkesanan air itu adalah izin Allah SWT dan janganlah pula kita terlalu bergantung kepada penggunaannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggunaan air jampi bagi mengubati anak degil seperti yang didakwa digunakan suspek untuk mengubati anaknya Nur Aina Nabihah, 9, yang maut didera.

Air jampi berkenaan dirampas polis ketika melakukan pemeriksaan di rumah suspek di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, pada Jumaat lalu, bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.

Mohd Yusof berkata, ibu bapa perlu bijak menangani masalah anak dan perbuatan mendera bukanlah alasan untuk mendidik.

"Berdoa kepada Allah SWT dan bersabar menerima ujian mendidik anak. Ibu bapa juga perlu muhasabah dan memperbaiki diri kerana mungkin ada kesilapan sendiri yang menyebabkan anak-anak bermasalah," katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2018 @ 5:48pm
d