mutakhir

Kerajaan tegas larang vaksin Dengvaxia

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertegas tidak menggunakan vaksin Dengvaxia kerana tiada kajian sahih penggunaan vaksin terbabit mampu mencegah virus denggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, vaksin itu memerlukan kajian mendalam sebelum digunapakai pengamal perubatan.

“Kami tidak pernah memperkenalkan vaksin itu malah menyekat penggunaannya kerana tiada kajian sahih boleh diguna pakai.

“Perkara ini timbul sejak dua tahun lalu dan kami bertegas tidak menggunakannya. Vaksin ini berbahaya bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti virus denggi.

“Filipina antara negara terawal gunakan vaksin itu dan mereka mungkin menerima kesannya,” katanya selepas melancarkan program Young Inventors Challenge (YIC) dan Karnival Sains Untuk Kanak-Kanak Muda 2018 di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan dan Presiden Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi (ASTI), Dr Mohamed Yunus Yasin.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika mengulas insiden kematian di Filipina disyaki kerana menggunakan vaksin Dengvaxia.

Sebelum ini, syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi lalu mendedahkan vaksin itu mungkin meningkatkan risiko penyakit dalam kalangan individu yang tidak pernah menghidap denggi.

Kementerian Kesihatan Filipina menggantung pemberian Dengvaxia sejak November lalu dan menubuhkan panel jawatankuasa bagi menyiasat serta mengenal pasti sama ada vaksin itu menjadi penyebab kes kematian 14 murid.

Mengenai program YIC dan Karnival Sains Kanak-Kanak Muda 2018, beliau berkata, ia dianjurkan ASTI dan penyertaan negara ASEAN turut dibuka.

“Lebih 80,000 murid sekolah Tamil menyertai Karnival Sains Untuk Kanak-Kanak Muda sejak ia diperkenalkan pada 2010, manakala 350 memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa selepas menyertai program ASTI,” katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:23am
d