mutakhir

Air jampi tiada kaitan dera

Oleh HM Digital

Kuala Pilah: Polis menegaskan air jampi yang dirampas di rumah bapa kandung Nur Aina Nabihah Mohammad, 9, di Lukut, Port Dickson, Jumaat lalu tiada kaitan dengan penderaan yang dilakukan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, air jampi itu hanya kegunaan keluarga dan tidak bersabit penderaan hingga mengakibatkan kematian.

“Bagi kes penderaan Nur Aina, polis masih menjalankan siasatan terperinci dan mengambil keterangan daripada mereka yang terbabit,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas dan Kor Kadet Polis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanudin, di sini, semalam.

Akhbar pada Khamis lalu melaporkan Nur Aina meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas tidak sedarkan diri.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa didera sehingga usus koyak, patah rusuk kiri dan cedera.

Sehubungan itu, polis yang menjalankan siasatan di rumah suspek di Taman Vista Jaya Lukut merampas kerusi kecil, tali pinggang dan bekas air jampi yang digunakan memukul mangsa.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:33am
d